Kecemerlangan Akademik Wahana Keizzahan

Sungguh pantas detik masa berlalu. Tanpa disedari, penulis telah pun berada disaat-saat akhir zaman mahasiswanya. Menunggu pula zaman yang lebih mencabar iaitu zaman berpencak di medan rakyat. Sudah pasti zaman akan datang ini mempunyai sejuta satu kelainan dengan zaman sebelumnya, kerana perbezaan dari sudut yang pelbagai dan memerlukan pengembelingan keringat yang tinggi, serta pendekatan dakwah yang variasi.

Persediaan dari sudut mental, fizikal, perancangan hidup, serta pelbagai lagi perlu dipersiap semapan yang mungkin untuk memastikan diri ini tidak tercicir dari medan perjuangan yang penuh mehnah ini. Sedikit gugup, gementar dan juga bercampur bimbang tak kala melihat ramai pimpinan kampus kecundang ghuyub entah kemana. Mereka yang dilihat sebelum ini sebagai 'rising star' atau aset penting perjuangan terpaksa dinafikan kerana penglibatan yang sangat tidak memuaskan.

Teringat penulis, ketika berada di tahun 2 & 3. Ramai senior yang sinis dan prujudis terhadap penulis, mengatakan penulis tidak memberikan komitmen yang baik dalam perjuangan kampus lantaran penulis sibuk dengan tugas pentarbiyyah di Matrikulasi. Kalau nak kata penulis tak buat kerja di kampus, nyatakan bukti agar sama-sama kita bermuhasabah. Tapi, yang popularis adalah cakap-cakap belakang. Walhal, masih ramai junior yang lain 'relaks' dan bersenang lenang tidak diberikan sebarang tugas. Kini, dimana wajah mereka di pentas perjuangan masyarakat. Penulis sempat survey, ternyata ramai antara mereka yang tidak berdaftar dimana-mana kawasan atau cawangan. Namun, penulis husnuzon....dan masih bersahabat dengan mana-mana pihak yang ingin bersahabat. Bukan kerja penulis inginkan kekeruhan dalam silaturrahim. Kesempatan yang ada, penulis memohon maaf atas ketidakpuashatian kalian yang berkhaitan sepanjang kita bersama-sama melawan terjahan dikampus. kekeruhan yang telah berlaku, kita anggap sebagai skim mematangkan lagi diri dalam dunia perjuangan.


Kecermelangan Akademik.


Entrie pada kali ini, penulis ingin mengajak pembaca sekalian untuk sama-sama kita renung kepentingan scroll yang bakal menjadi milik mahasiswa yang berjaya menamatkan pengajian di menara gading. segulung ijazah membawa makna yang sangat besar dimata masyarakat. Dan, Fenomena yang berlaku kini begitu menggamit kehadiran du’at yang benar mampu menguasai segenap aspek ilmu pengetahuan. Penguasaan ini sebenarnya bukan sahaja tertumpu kepada ilmu-ilmu berbentuk turathi malahan juga penguasaan ilmu-ilmu berbentuk semasa dan moden. Masyarakat kini yang hidup di zaman serba moden dengan gelodakan pelbagai ideologi dan fahaman telah meletakkan akademik sebagai kayu ukur ketinggian ilmu setiap individu. Individu yang mempunyai pencapaian cemerlang dalam akademik akan diiktiraf sebagai pemimpin dan ayam tambatan masyarakat sebaliknya individu yang tidak memiliki kejayaan akademik sudah pasti dipinggirkan dan tidak dipandang sebagai golongan yang mampu membawa sinar buat masa depan masyarakat di alam yang serba maju.

Seorang hukama’ ada menyatakan :-

“Orang yang tidak mempunyai sesuatu tidak akan akan mampu memberi sesuatu”.


Situasi ini biarpun disanggah oleh kebanyakan penuntut ilmu namun kefahaman kurang tepat ini sudah sebati dan berakar umbi dalam pemikiran masyarakat moden hari ini yang akhirnya menuntut kepada setiap da’ie berusaha keras mendapatkannya sebagai aset dan wasilah survival dakwah yang makin mencabar. Bukti jelas tokoh-tokoh akademik ini telah diutamakan dapat dilihat melalui senario pilihanraya tanahair yang masih terasa bahangnya apabila kebanyakan calon yang bertanding dan menjadi pilihan utama kepemimpinan setiap parti adalah golongan akademik tidak kira sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang. Mengenai soal kepimpinan ini Saidana Umar r.a. telahpun berpesan :

“Bertafaquhlah sebelum kamu menjadi pimpinan”.

Bukan sekadar itu malahan hampir kesemua bidang kerjaya di tanahair telah meletakkan pencapaian akademik sebagai perkara utama kelayakan selain pengalaman dan kepetahan berkata-kata dalam sebilangan bahasa.

Selamat Bergraduasi Mohd Dzulhuzmi Nasruddin!!!!

Qiadah Rabbaniyah Memimpin Massa

Membincangkan tentang kebugaran pimpinan mendepani cabaran massa merupakan antara agenda terpenting dalam usaha membentuk swadaya ummah yang kental dan meyakinkan. Hal ini menuntut suatu penelitian yang rapi dan analisa yang terperinci demi melahirkan wajah kepimpinan rabbani yang hakiki.

Demikianlah realiti keberkesanan sebuah kepemimpinan yang mengakari nadi ummah membuktikan Islam sejati. Rentetan daripada itu, kita wajar menyelongkar kembali ramuan bernilai dan resepi terkini ke arah pemupukan saf qiadi rabbani. Al-Ustaz Said Hawwa menegaskan dalam risalahnya Ihya' Rabbaniah, betapa gagasan rabbaniah adalah noktah penyelesaian segenap masalah sekitaran. Kegagalan dalam mewujudkannya akan mengundang kelemahan yang ketara dalam proses pendidikan generasi. Lantaran kepentingannya, kitab keutamaan-keutamaan dalam Harakah Islamiyyah hasil buah fikiran Al-Ustaz yusof Al-Qardawi menerangkan bahawa ar-Rabbani perlu diberikan nafas baru pentakrifannya guna menjamin relevansi tuntutan thaqafi yang terpundak, kebutuhan akhlak yang multazam, kesuburan biah yang terpugar dan keistimewaan ruh yang terpancar.

Di sinilah perlu diperhati dan dihalusi bahawa rabbaniyyun yang kita ingin lahirkan bersama adalah mereka yang menjangkau usaha ketahap yang lebih tinggi kearah merealisaikan pimpinan yang mempunyai kualiti lantas mampu mencerna perancangan jemaah yang terancang dan strategik. Malah thaqafah yang bersemi mesra membajai akal, segera dipagarkan dengan akhlak hizbullah bermuqaddimahkan mahabbatullah, az-zillah terhadap mukminin dan al-'izzah terhadap kafirin. Seri itu dibungai pula dengan pendekatan persis Rasulullah S.A.W. zahir dan batinnya menyubur jiwa dalam jambangan murni majlis zikr dan ta'lim serta halaqah tadris yang mulia.

Meninjau penuh keinsafan rentak tari kepimpinan mahasiswa dan mahasiswi kini khususnya di tanah air ini, tampak begitu mengharukan kerana kekadang begitu jauh daripada bebayang unggul ar-Rasyidin, Umar Abdul Aziz, Salahuddin, al-Malik Zahir dan lain-lain. Kita sebenarnya begitu merindui sebuah ketumbukan pewaris anbiya' yang bersiaga memikul taklif kepimpinan dengan bekal ilmu yang menyemarak ruh perjuangan seiring tingkah perlakuan yang layak meraih ihsan ar-Rahman juga gempur berani pencinta syahid di medan. Pun begitu, yang jelas pada lingkung pandangan adalah sikap berkecuali dan pasif yang berkembang, tatkala sesekali dilamar untuk memimpin persatuan. Akibatnya, krisis kepimpinan terus bertalu-talu melanda, taklif bersekitar tuntutan amal Islami yang dipundakkan bertimbun tindan di atas bahu individu yang sama lalu membiarkan teori pembahagian tugas terbiar sepi. Ya, kita mungkin tidak punya quwwah seumpama Abu Bakar as-Siddiq, kita juga jauh daripada izzah Umar al-Kattab, jua sakinah Uthman Ibn Affann dan fathonah Ali Karamallahu wajhahu. Namun, apakah ini layak dicagarkan sebagai alasan untuk membiarkan amanah kepimpinan dipikul oleh mereka yang kurang berkelayakan? Mungkin mustahil kita menggapai haibah generasi pimpinan silam terbilang. Namun, adakah ini memberi rukhsah syar'iah untuk tidak melunaskan tuntutan qiadah? Fenomena yang terus-terusan berlaku ini, adakah petanda gilang kepimpinan ulama pada masa hadapan? Atau inikah suatu amaran yang menuntut muhasabah tuntas, segera dan penuh keinsafan bagi mengembalikan sinar keunggulan yang kian dimamah zaman?

Kita akur betapa kita masih mentah di era pentadbiran dan pengurusan paling efektif abad ini. Kita juga mengakui betapa kita tidak dilahirkan dengan serba serbi kehebatan untuk memimpin ummah secara langsung. Kita sedar, syakhsiah kita menuntut untuk digilap dengan sebaik mungkin guna menghidupkan pancaran qudwah yang sering dikaburi oleh kemalapan. Di sini kita menegaskan bahawa Kampus sebenarnya bukan sekadar medan latihan sampingan atau sekadar pemanas badan sebelum bergelanggang langsung di medan perjuangan sebenar. Akan tetapi ia adalah sebahagian daripada episod kehidupan anak-anak nusa di perantauan yang menagih untuk dilunaskan tuntutan hidup berjemaah dibawah suatu kepimpinan yang menentukan nilai deen, taqwa dan ubudiyyah. Lantas, kita bersama tertuntut untuk membentuk suatu saf kepimpinan yang berangkai di setiap peringkat dengan wajah yang terbaik bagi memastikan iklim hayat para pejuang dilatarkan dengan biah solehah yang layak beroleh anugerah aman dan harmoni daripada Allah.

Ternyata, dinamika sikap dalam menyelesaikan masalah kepimpinan atas dasar tanggungjawab beragama adalah suatu kebutuhan yang tidak boleh dikesampingkan sama sekali. Membiarkan amanah mewujudkan barisan pimpinan terbaik dengan sambil lewa apatah lagi mengabaikannya begitu sahaja adalah manifestasi kelemahan penghayatan deeni dan kecelaruan faham dalam amal islami.

Dalam rangka melahirkan ar-rabbaniyyin yang berkeupayaan untuk mengemudi ummah, bukan sedikit yang harus dikorbankan dan bukannya murah harga yang perlu dibayar. Menyedari ini merupakan tuntutan yang begitu besar impaknya kepada kekuatan ummah, segenap lapisan ahli perlu bersama dipugar puing-puing kesedarannya sehingga seluruh pejuang kita berasa thabat bahawa diri masing-masing perlu dipersiapkan sesiaga mungkin demi memenuhi taklif rabbani ini. Sekaligus, hambatan sikap negatif dan tabiat pesimis perlu dinyahkan segera daripada diari hidup seharian.

Kita kini, semalam dan akan datang akan cuba membuka jalan dan mendedahkan khalayak mahasiswa dan mahasiswi kita dengan pelbagai pendekatan dan kursus untuk memartabatkan upaya memimpin masyarakat kampus sehingga mampu memaut thiqah ummah di tanah air.

Dalam pada itu, keupayaan memimpin akan lebih terserlah dengan kemahiran dan kebijaksanaan berbicara terutamanya ketika di khalayak umum. Namun begitu, kekadang inilah juga alasan yang segera disajikan tatkala diminta memikul amanah kepimpinan. Segala macam gagap gugup, fobia dan trauma diajukan bagi menidakkan taklifan diri. Nyata, memang terlalu sedikit yang dianugerahi nikmat born to be a speaker dan kita mungkin daripada spesis insan biasa sahaja yang diuliti sejuta satu kelemahan. Akan tetapi layakkah kita berdiam diri dan tidak berusaha sekali-sekala membina diri dengan santap rohani penguat azam dan peribadi malah menyerahkan kepada takdir semata-mata. Awas, kekadang anugerah yang Allah berikan sengaja diberikan lapisan pelitup malah mungkin seutuh ruyung untuk dinilai sejauh mana ikhtiar kita bagi menggapai darjat kemuliaan di sisiNya. Adakah sekadar mencagarkan sengih dan senyum sahaja atau mengeksploitasi segenap kekuatan demi menyahut seruan ar-Rahman.

Justeru, marilah kita bersama-sama menilai kembali setakat manakah usaha yang telah kita gembleng bersama ke arah mengembalikan izzah qiadah rabbaniah dalam rangka memimpin sebuah kesatuan yang berpijak di bumi nyata. Pasti, kemampuan kita membentuk dan menyusun barisan qiadah yang kental di segenap penjuru adalah petanda baik dan cerahnya harapan kepimpinan ulama di tanah air kita esok dan detik-detik yang mendatang.

Memahami Dan Melunasi Tanggungjawab Siasi

Senario massa jelas menyaksikan kesedaran berpolitik yang kian marak di kalangan pelbagai lapisan masyarakat dan bangsa di Malaysia. Isu-isu politik yang hangat dan sensitif tidak lagi menjadi perkara yang asing untuk dipolemikkan di khalayak umum. Hal ini telah menarik golongan mahasiswa di tanahair untuk terbabit secara langsung dalam kancah sepak terajang itu lantas memberikan saham yang besar dalam mewarnai corak pemikiran dan hala tuju masyarakat bagi menentukan masa hadapan mereka secara lebih bijaksana.

Dalam hal ini, mahasiswa dan mahasiswi yang lebih memahami idealisme perjuangan Islam tidak sepatutnya memberikan alasan yang serupa untuk terlepas daripada melunasi tanggungjawab siasi yang terpundak di bahu mereka. Bahkan mereka sebenarnya yang perlu memahamkan masyarakat bahawa selagi tidak terlaksana sistem kenegaraan Islam sepenuhnya, selagi itu usaha-usaha pengislahan perlu diteruskan. Maka, usaha-usaha untuk memupuk kesedaran yang menyeluruh di kalangan ahli gerakan Islam tentang tanggungjawab siasi ini perlu dipergiatkan. Mereka perlu disedarkan bahawa sumbangan yang perlu diberikan adalah bermula semenjak alam kampus lagi dan tidak menunggu sahaja untuk menyumbang setelah pulang ke negeri masing-masing tanpa melakukan sesuatu. Banyak bukti menunjukkan bahawa pengalaman yang diperolehi melalui penglibatan dalam persatuan dan aktiviti kemasyarakatan dikampus amat membantu perlaksanaan tugas dakwah sama ada dalam aspek sosial, politik mahupun ekonomi.

Terdapat sebilangan mahasiswa yang memiliki kesedaran untuk melunasi tanggungjawab ini, tidak mengetahui saluran yang sepatutnya didahulukan dalam memberikan sumbangan. Tindak-tanduk bersendirian tanpa haluan sebegini wajar diperbaiki agar lebih terarah lantas menatijahkan momentum yang maksimum ke arah anjakan reformasi sosio-politik tanah air yang lebih gemilang. Lalu, kesedaran yang ada wajar digembleng secara jamai’e untuk memecah kebuntuan yang menyelubungi senario politik tanahair seumpama gejala penolakan terhadap perlaksanaan perundangan Islam di kalangan pemimpin Islam dalam negara, masalah perpecahan etnik, pertikaian terhadap perlaksanaan sistem pilihanraya, krisis hubungan antarabangsa antara Malaysia dengan negara-negara barat dan sebagainya. Hal sebegini akan mematangkan kita untuk ketika berhadapan dengan reliti, di samping membuka saluran bersuara untuk diambil perhatian oleh pihak-pihak terbabit. Sungguhpun sebahagian daripada perkara ini telah dilaksanakan, namun penglibatan para mahasiswa adalah pada tahap yang sangat minimum dan tidak menyeluruh.

Bagi memenuhi hasrat ini, program-program yang menjurus ke arah pematangan minda siasi seumpama Kursus Kenegaraan, Bengkel Siasah, Bengkel Latihan Pilihanraya dan seumpamanya perlu dirintis di segenap peringkat secara matang dan terbuka. Aktiviti ini dipercayai mampu melahirkan para pekerja Islam yang lebih matang dan profesional.

Namun, perlu diingat bahawa dalam kerancakan melaksanakan tanggungjawab siasi, sewajarnya kita sentiasa berwaspada dengan had-had yang mengekang di persekitaran. Kebijaksanaan inovasi gerakan, di samping penghayatan semangat musyawarah dan muhasabah amat penting dalam menjamin gerak tindak yang optimum serta menyeluruh di segenap peringkat.